|
AKHBAR SINAR HARIAN-31 OGOS 2014 |
POKOK SENA - Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena
dicemari insiden baling kerusi ketika perwakilan memulakan persidangan.
Kekecohan tercetus selepas perasminya, Naib Presiden Umno,
Datuk Seri Shafie Apdal meninggalkan majlis perasmian di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung.
Ketika perwakilan ingin meneruskan persidangan, mereka
dikejutkan dengan sekumpulan perwakilan bahagian itu membuat bising dan
bertekak, tanpa diduga membaling kerusi berdekatan.
Insiden itu kemudian dileraikan perwakilan dan anggota Rela
yang hadir dan keadaan menjadi kecoh seketika sebelum kumpulan berkenaan keluar
dewan.
Bagaimanapun, persidangan diteruskan selepas keadaan
kembali terkawal.
Setiausaha Kerja Umno Kedah, Haris Che Mat berkata, Umno
Bahagian Pokok Sena akan membuat laporan terperinci berhubung insiden kekecohan
itu yang berlaku sewaktu mesyuarat perwakilan untuk diserahkan kepada Umno
Pusat dan negeri.
“Berdasarkan siasatan awal kami dapati kekecohan ini
sengaja dicetuskan pihak tertentu, yang mahu melihat mesyuarat itu ditangguhkan
namun tindakan itu tidak berhasil apabila mesyuarat diteruskan selepas keadaan
kembali aman,” katanya.
Menurutnya, kesemua perwakilan yang hadir sepakat mahu
mesyuarat diteruskan walaupun pihak terbabit mencetuskan provokasi serta
mengajak perwakilan lain meninggalkan mesyuarat.
“Laporan mengenai kejadian ini akan diserahkan dalam tempoh
terdekat dan kita akan tunggu tindakan selanjutnya,” katanya.
Haris yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena
berkata, beliau amat kecewa dengan kejadian itu dan menyifatkan tindakan
provokasi yang dibuat segelintir pihak tidak mencerminkan kemahuan ahli-ahli
Umno bahagian itu.
“Kekecohan itu hanya dibuat segelintir pihak dan majoriti
perwakilan tidak mempunyai masalah dengan cara pemilihan calon G7 yang dibuat
hari ini. Saya ingin nasihatkan perwakilan jangan buat sesuatu yang boleh
memudaratkan parti, seeloknya dibincangkan secara berhemah,” katanya.
Insiden itu merupakan kejadian kali pertama yang berlaku
ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena.
Umno Bahagian Pokok Sena diterajui kepimpinan baharu bagi
penggal 2013-2016, apabila Said Ali Said Rastan yang juga bekas Timbalan Ketua
Bahagian mengetepikan Datuk Ahmad Lebai Sudin yang juga Adun Bukit Lada, bagi
jawatan Ketua Bahagian.
Manakala Datuk Ariffin Man merupakan Timbalan Ketua
Bahagian.
Pada Februari lalu, Sinar Harian pernah melaporkan kemelut
yang melanda Umno bahagian itu, yang berpecah kepada dua puak, iaitu mereka
yang menyokong kepimpinan lama dan sebahagian pula menyokong kepimpinan baharu
yang menang pada pemilihan lepas.